Aku nak ucap tahniah kepada Isa Samad dan BN kerana berjaya pertahankan Bagan Pinang dari jatuh ke tangan pembangkang. Dan pada masa yang sama aku nak ucap terima kasih kepada Bagan Pinang kerana memberikan satu pengajaran bermakna kepada BN dan juga UMNO.
Sememangnya PRK Bagan Pinang telah memberi petunjuk yang berguna kepada BN amnya dan UMNO khususnya dalam menghadapi setiap pilihan raya baik kecil mahupun umum akan datang. Tapi ironiknya, ia muncul selepas 9 sembilan pilihan raya kecil dan selepas 7 daripadanya tewas di tangan pembangkang. Tapi ia belum terlambat!
Salah satu petunjuk paling nyata yang perlu diberi perhatian oleh pucuk pimpinan parti ialah CALON. Ya, pemilihan calon adalah kunci utama penentu kemenangan kepada parti. Seperti yang kita lihat daripada sembilan pilihan raya kecil, calon-calon yang dimahukan rakyat telah memberikan kemenangan atau paling mengurangkan majoriti kemenangan lawan.
Di Manek Urai, calon yang diletakkan oleh BN boleh diterima rakyat yang akhirnya BN membuat kejutan dengan menurunkan majoriti sehingga 600 undi sahaja walaupun kita tahu Manek Urai adalah lubuk kawah Pas.
Di Bagan Pinang, Isa Samad merupakan calon "kontroversi" kerana pernah terjebak dengan politik wang dan sudahpun menerima hukuman. Namun ternyata rakyat tidak mempedulikan sama sekali isu-isu peribadi sebaliknya mereka mahukan calon yang benar-benar dekat dengan rakyat dan yang penting mendapat restu dari akar umbi semua parti komponen. (
Lihat tulisan aku sebelum ini...)
Ini berbeza pada pilihan raya kecil Kuala Terengganu, misalnya di mana calon BN pada masa itu Datuk Wan Farid adalah calon yang tidak disenangi oleh rakyat bahkan di peringkat akar umbi parti. Pemilihannya banyak dilihat kerana hubungan rapatnya dengan menantu Presiden parti pada masa itu. Akhirnya, BN menerima padah apabila kecundang di tangan lawan.
Pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan BN terpaksa melepaskan lima negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Kedah, Selangor dan Wilayah Persekutuan selain mengalami kekalahan teruk di negeri-negeri lain adalah berpunca dari pemilihan calon yang semberono dan menjurus kepada "orang Pak Lah" dan "orang KJ".
Mungkin kerana begitu yakin hasil kemenangan besar BN pada PRU-11 tahun 2004, maka pucuk pimpinan BN telah tersilap percaturan dengan menganggap BN masih kuat empat tahun selepas itu sehingga menganggap "letak batang pisang boleh menang" yang akhirnya memakan diri sendiri.
Bagan Pinang juga menyaksikan para penyokong BN khususnya UMNO tidak lagi hanya duduk diam setiap kali dilanyak, dihentam, diherdik, dimaki hamun, diserang dengan provokasi-provokasi melampau penyokong pembangkang. Malah mereka semakin berani melawan. Andai SPR dan pihak polis menganggap Bagan Pinang sebagai PRK paling ganas aku percaya ia berpunca daripada sikap penyokong BN yang tidak lagi hanya terdiam setiap kali diserang penyokong pembangkang.
Walaupun ia memberi kesan tidak baik kepada keamanan tetapi untuk jangka masa panjang ia sebenarkan melontarkan
amaran kepada penyokong pembangkang bahawa mereka tidak lagi berdiam diri setiap kali diserang dengan pelbagai provokasi melampau pembangkang. Mereka tidak mahu lagi lebih banyak menjaga tatasusila berkempen dan mereka kini sudah pandai melawan balas.
Malah kempen-kempen BN juga kini lebih menjurus mempertahankan diri daripada fitnah dan hasutan pembangkang berbanding "menabur janji" pembangunan seperti sebelum ini.
Apakah Bagan Pinang melambangkan kebangkitan BN selepas kecundang dalam 7 PRK dan terlepas 5+1 negeri pada PRU-12 lalu?
Oh! Belum tentu. BN tidak sepatutnya cepat berpuas hati dengan kemenangan di Bagan Pinang. Benar para pengundi di sana memilih BN tetapi apa yang lebih penting ialah para pengundi di seluruh negara. Ujian sebenar BN sama ada rakyat sudah menerima gagasan 1Malaysia, kembali memberi sokongan kepada BN atau sebaliknya hanya boleh diketahui pada PRU-13 nanti.
Bagan Pinang tidak mewakili seluruh rakyat. Bagan Pinang hanya untuk Bagan Pinang. Jadi, jangan cepat meletakkan diri bahawa BN kini sudah semakin diterima. Ingat bagaimana BN hampir menang di Manek Urai dan kemudiannya mengalami kekalahan teruk di Permatang Pasir. Inilah bukti bahawa PRK tidak boleh menjadi kayu pengukur. Tidak relevan...!!